Didik Anak Kita Mulai Sekarang

Posted by wan wma on August 4th, 2008

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

Ah, jangan salah faham. Saya masih belum punyai anak dan masih bujang. Post kali ini sekadar ingin berkongsi sedikit langkah dan pesanan dari para kekasih Allah tentang cara mendidik anak. Anak-anak adalah zuriat dan pewaris kita di masa hadapan. Mekipun kita telah meninggal dunia, saham yang dilakukan oleh anak-anak masih sampai kepada kita. Saham yang dimaksudkan ialah dosa atau pahala.

Beberapa tahun yang lepas saya pernah mendengar seorang ustaz mengajar. Ustaz itu menceritakan kisah Luqman Al Hakim. Sebagaimana yang kita semua tahu, Luqman adalah seorang hamba yang sangat taat kepada tuhan, beliau juga mempunyai anak yang baik budi perketinya, elok akhlak dan kuat imannya. Bagaimanakah Luqman mengajar anaknya? Soalan ini pernah ditanya oleh sahabat Luqman sendiri. Lalu Luqman menjawab:

“Saya mendidik anak saya sebelum mereka lahir lagi, bahkan sebelum saya berkahwin!”

Ehem, bagaimana ya ingin mendidik anak sebelum mereka dilahirkan? Luqman menjawab lagi:

“Didiklah diri kamu dahulu. Jadilah seperti mana anak yang kamu inginkan!”

Kadangkala kita inginkan yang terbaik daripada orang lain, sebaliknya kita sendiri tidak berubah ke arah itu. Begitu juga dengan anak-anak, kita mahukan anak-anak yang baik, rajin, berhati mulia, dihormati, disayangi dan disukai oleh sesiapa sahaja, namun kita sendiri tidak pernah memperbetulkan diri untuk menjadikan diri kita sentiasa lebih baik dari hari ke hari.

Jika mahukan anak yang sentiasa bersembahyang jemaah di masjid, bersembahyanglah kita ke masjid mulai hari ini, jika mahukan anak-anak yang cemerlang, cemerlangkanlah diri kita mulai hari ini, jika mahukan anak yang suka bersosial, hiduplah kita dengan bersosial dan bebas tanpa memikirkan apa yang bakal berlaku di masa hadapan.

Pesanan Saidina Ali:

Didiklah anak kamu dengan cara yang berbeza setiap 7 tahun.

7 tahun pertama, beri dan ajarkan mereka tentang kasih sayang. Manjakan mereka dengan kelembutan dan rasa cinta.

7 tahun kedua, berlaku tegas dengan mereka, didik mereka dan perbetulkan kesalahan yang mereka lakukan.

7 tahun ketiga, berkawanlah dengan mereka, di saat ini mereka memerlukan teman untuk berbicara dan mengemukakan pendapat. Mereka sudah boleh berfikir, bersahabatlah dengan mereka sebelum mereka mempunyai sahabat lain yang boleh meroksakkan akhlak.

Belajar Senyum

Posted by wan wma on August 1st, 2008

 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Suatu masa dahulu saya sering mengalami masalah yang bagi saya ianya merupakan masalah teruk dan kritikal. Saya tiada tempat mengadu, saya tidak suka ceritakan masalah saya kepada orang lain termasuk keluarga saya sendiri. Perbuatan ini memberikan tekanan yang kuat kepada saya. Saya terpaksa berhadapan dengan pemikiran yang tidak menentu setiap kali masalah datang, sehingga kepala menjadi pening bagaikan nak gila..(huhuhu)

Saya berdoa kepada tuhan untuk membukakan pintu hati ini supaya tabah menghadapi sebarang masalah dan boleh menyelesaikannya. Namun, ada juga masalah yang kadangkala saya tidak dapat selesaikannya kecuali terus berhadapan dengan tenang dan sabar. Lalu, dalam kebingungan saya menemui satu sinar. Alhamdulillah..Allah telah menunjukkan saya satu langkah mudah untuk bertenang.

Langkah pertama tentu sekali dengan mengingati-Nya. Langkah kedua adalah dengan mengukir senyuman. Setiap kali saya tension, bad mood dan sebagainya, saya akan melihat wajah sendiri dalam cermin kemudian senyum. Ehem…saya dapat melihat seorang kawan yang tidak pernah tinggalkan saya dan sentiasa berada disamping saya setiap masa samada susah atau senang. Orang itu adalah diri saya sendiri.

Dengan senyuman itu, diri saya sentiasa nampak berkeyakinan dan tenang. Tiada apa yang perlu saya risaukan kerana saya ada seorang teman yang boleh mengubati hati ini setiap masa. Senyuman boleh mengubati pelbagai perasaan buruk yang melanda diri. Bolehkah anda senyum ketika sedang marah? Jika tidak, anda perlu belajar untuk senyum! Anda akan melangkah ke suatu era perubahan diri jika anda sentiasa senyum dalam keadaan sukar.

Lihat saja Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, Nik Aziz, dan orang-orang kenamaan, mereka sentiasa senyum dalam menghadapi serangan pihak lawan dan dalam apa jua keadaan genting. Meraka bukan suka dengan apa yang berlaku dan mereka bukan dilahirkan untuk sentiasa senyum, sebaliknya mereka belajar untuk senyum!

Kini, hampir tiada lagi masalah yang boleh merungsingkan saya. Saya boleh senyum walau pun dibuang kerja, barang kena curi, tiada duit untuk makan dan dalam hampir apa jua keadaan. Saya juga mendapat satu kelebihan lain, antaranya adalah sentiasa disenangi oleh sahabat-sahabat saya. Kerana saya jarang bad mood, masam muka dan tension. Saya sentiasa senyum walaupun kepada orang yang membenci saya. Ehem..setakat ini saja celoteh saya hari ini. Jom senuym!!! eh, salah eja, JOM SENYUM!!!

Belajar Menangis

Posted by wan wma on July 25th, 2008

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Salam semua…marilah kita duduk dan merenung sedetik, tanyakan kepada diri…”Wahai diriku yang jahil, berapa kali aku menangis kerana mengharapkan keredhaan Allah? Berapa kali aku menangis kerana bersyukur atas segala nikmat yang tuhan kurniakan kepada ku setiap hari? Berapa kali aku menangis kerana takutkan pembalasan di atas segala dosa-dosa yang pernah aku lakukan?”

Tentu kita semua mempunyai jawapan yang berbeza, biarlah..tak apa. Semua itu adalah perkara yang dah lepas. Apa yang perlu kita buat adalah sekarang. Hari ini adalah anugerah, esok adalah misteri, kelmarin adalah sejarah…ambil cermin dan perhatikan wajah anda. Renungkan dalam-dalam dan cuba keluarkan air mata anda. Menangis, fikirkan sesuatu yang boleh membuatkan anda menangis…usahakan sampai berjaya..apabila sudah berjaya, sebutkan kata2 ini “Ya Allah, tangisan ini adalah latihan untuk aku menghadapmu!”

Allah sayangkan hambanya yang sering menangis apabila mengadap-Nya. Mungkin kali ini kita hanya boleh berlakon untuk menangis, namun dengan latihan yang kerap dan disertakan dengan niat yang betul, kita akan menjadi seorang hamba yang mempunyai air mata yang mulia disisi tuhan. Usahlah membiarkan hati anda begitu keras untuk merasa kerdil apabila mengadap tuhan, lembutkanlah ia dengan air mata keimanan. Air mata adalah anugerah untuk kita mengzahirkan rasa kehambaan apabila mengadap tuhan, jangan biarkan ia tersimpan dan dikeluarkan pada detik yang tiada manfaatnya.

Begitu murahnya air mata kita apabila menonton rancangan AF, Mentor dan sebagainya. Air mata keluar mencurah-curah apabila peserta yang diminati terpaksa disingkirkan. Apa ni? Sedangkan air mata kita tiba2 menjadi begitu mahal untuk dikeluarkan apabila mendengar ayat suci Al-Quran, apabila mengadap tuhan, apabila melakukan dosa-dosa besar..

Berubahlah…belajarlah untuk menangis apabila menerima nikmat, diuji, apabila mengadap tuhan dan sebagainya. Menangislah walaupun terpaksa berlakon. Tidak perlulah anda merasa seolah-olah perbuatan itu hanyalah menipu, Allah lebih tahu akan perkara itu. Yang penting anda berusaha untuk menangis kerana-Nya…marilah kita sama-sama menangis kerana-Nya. Sesungguhnya tiada tangisan yang lebih mulia daripada tangisan seorang hamba yang meratap mengharapkan keredhaan daripada tuhan-Nya.

Wallahualam…

Nasihat Mok Wan…

Posted by wan wma on July 21st, 2008

Bacala nasihat Mok Wan nii….

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 

Renungkanlah Sedalam-dalamnya

Tidak, Jodoh tiada kaitan dengan keturunan..

Hanya belum sampai masanya.

Ia bagai menanti jambatan untuk ke seberang.

Kalau panjang jambatannya jauhlah perjalanan kita.

Ada org jodohnya cepat sebab jambatannya
singkat.

Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35
tahun belum apa² kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan. Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda itu dalam doa² lewat solat.

Allah mendengar.

Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat.

Biar lambat jodoh asalkan mendapat ’Right Person’ dan
biar seorang diri drpd menjadi mangsa lelaki/perempuan yang tidak beriman kemudian nanti.

Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini. Hakikatnya, apabila kita benar² mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga dtg bersama masalah.

Kita selalu melihat org memandu kereta mewah dan terdetiklah di hati kita, bahagianya org itu. Hakikatnya apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah kita ditimpa pelbagai kerenah.

Tidak mustahil pula org yang memandu kereta mewah (walaupun sebenarnya tak mewah) terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi
jalan. Orang lain membeli dengan harga biasa, dia terpaksa membayar berlipat ganda.

Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh di hadapan. Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang sebuah motosikal seperti  itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang
motosikal mungkin sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta di tgh² bandar raya.

Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar² membahagiakan.

Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda, pasti ada baik buruknya.

Demikian juga perkahwinan. Ia baik sebab ia dibenarkan oleh agama, sunnah Nabi, sebagai saluran yang betul untuk melepaskan shahwat disamping membina sahsiah dan sebagainya, tapi ia menjadi sebaliknya bila ramai
org yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus.

Ramai orang menempah neraka sebaik sahaja melangkahkan kaki ke alam berumahtangga. Bukankah dengan ijab dan Kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut
banyak? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka?

Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan masing² padahal dahulunya  mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan segala impian menjadi nyata?

Jika tidak sanggup untuk bergelar suami atau isteri tidak usah berkahwin dulu.

Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk bergelar ibu ataupun ayah, belajarlah dulu.

Jika rasa² belum bersedia untuk bersabar dgn kerenah
anak², carilah dulu kesabaran itu.

Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi telah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut
tatkala cuba mendaki naik.

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar² mengerti tuntutan2nya.

Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus² bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman, mencintai Tuhan dan menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan
insan kepada kesempurnaan insan - bagi yang mengetahui rahsia²nya.

Berkahwinlah anda demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan berkahwin kerana perasaan dan mengikut kebiasaan.

Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong²nya agar jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang. ”

Seorang teman pernah berpesan..

“Kadang² Allah sembunyikan matahari..
Dia datangkan petir dan kilat..
kita menangis dan tertanya-tanya,
kemana hilangnya sinar..
Rupa²nya.. Allah nak hadiahkan kita pelangi..” “ 


“Cinta yang disemadikan tidak mungkin layu selagi adanya imbas kembali.

Hati yang remuk kembali kukuh selagi ketenangan dikecapi.

Jiwa yang pasrah bertukar haluan selagi esok masih ada.. Parut yang lama pastikan sembuh selagi iman terselit didada…”

Semoga mendapat jodoh yang didamkan dan dirahmati Allah, amin.

Wallahu’alam

Apa lagi yang tiada di Syurga?

Posted by wan wma on July 19th, 2008

Assalamualaikum…

Salam semua…sekarang, 9.30mlm..saya masih berada di pejabat..rehat sebentar untuk menulis dalam blog yang menjadi medan untuk saya terus bermotivasi…

Kesibukan kerja sekarang membuatkan saya sedikit bingung dengan aturan hidup harian saya..keadaan menjadi semakin rumit apabila secara tiba-tiba saya dipinta keluarga untuk mencari pasangan hidup. Adui…kalau setakat cari sendiri saya tak kisah sangat, masalahnya keluarga saya dah ada pilihan mereka sendiri, bukan maksud mereka untuk memaksa saya memilih wanita pilihan mereka. Tetapi perbuatan mereka seolah-olah saya telah bersetuju dan terus ingin melangsungkan upacara pertunangan..

Ini merupakan satu kejutan bagi saya, sepanjang hidup saya saya tak pernah ada kekasih, awek dan sebagainya. Keadaan ini sedikit sebanyak telah menyebabkan saya menjadi seorang lelaki yang agak diminati ramai kerana tidak terjebak dalam golongan remaja yang sibuk bercouple ke sana ke mari (hohoho..perasannya aku.. :) ). Keadaan ini jugalah yang telah menyebabkan keluarga saya cuba mencari pasangan hidup kepada saya…

Saya dah tengok wanita yang di perkenalkan kepada saya…alhamdulillah..cantik dan punyai nilai2 Islam yang tinggi (ustazah). Namun, adalah menjadi urusan tuhan untuk membuka hati saya bagi menerima seorang wanita sebagai Isteri…saya berdoa semoga Allah melembutkan hati ini untuk menerima, tetapi buat masa ini masih tiada sebarang petunjuk yang menyatakan saya perlu memilihnya walaupun sedetik perasaan..mungkin kerana saya masih belum bersedia…entahlah…

Apa-apa pun saya akan terus berdoa supaya Allah bukakan hati ini untuk menerima seorang wanita yang sesuai dengan kelemahan yang ada pada diri ini. Seorang yang akan menjadi pasangan hidup di dunia dan akhirat…Insyaallah…

“Apa lagi yang tiada di Syurga? Namun, Nabi Adam tetap rindukan Siti Hawa!”

 

Utamakan Yang Utama

Posted by wan wma on July 12th, 2008

Assalamualaikum…

Dapatkan sebatang pen, marker atau pensil dan sekeping kertas. Kemudian tulis besar-besar persoalan di bawah:

“Adakah perkara yang aku buat sekarang adalah perkara yang paling perlu aku buat sekarang?”

Tampalkan pada dinding atau mana-mana tempat yang paling mudah anda lihat. Tanyakan kepada diri sendiri soalan yang tertulis. Adakah anda sedang buat perkara yang paling perlu anda buat sekarang? Jika tidak, apa kata selepas anda baca post yang saya tulis ini, anda terus lakukan perkara yang paling utama yang perlu anda lakukan sekarang.

Sebagai seorang individu yang cemerlang, kita seharusnya pandai membezakan perkara utama dan perkara yang terkemudian. Sebagai langkah pertama, sekiranya anda tidak pernah mengasingkan kerja yang perlu dilakukan, adalah lebih baik anda mula menyenaraikan kerja2 anda mengikut keutamaan mulai sekarang. Tuliskan di atas kertas apakah kerja yang perlu anda lakukan hari ini. Kemudian senaraikan perkara utama dan perkara yang kemudian dengan meletakkan huruf A bagi perkara yang teramat penting, B bagi perkara penting dan c bagi perkara yang sederhana penting. Elakkan dari melakukan perkara yang tiada kepentingan langsung dalam hidup anda. Kerana ia tiada gunanya melainkan pembaziran masa yang amat merugikan.

“Demi masa sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, melainkan mereka yang berpesan-pesan pada kebenaran dan kesabaran.”

Satu contoh membezakan perkara utama dan perkara terkemudian antaranya adalah menyahut panggilan ibubapa. Tiada sebarang kerja yang kita lakukan yang lebih penting dari menyahut panggilan ibubapa kita. Termasuklah ketika sembahyang sunat. Kita diwajibkan berhenti sembahyang sunat sekiranya terdengar ibubapa memanggil kita. Menyahut panggilan ibubapa hukumnya adalah wajib. Dalam sembahyang wajib pun kita perlu memperkuatkan bacaan doa/zikir( perlu niat zikir ketika membaca dengan kuat) untuk menyatakan yang kita sedang sembahyang kepada ibubapa kita. Jangan biarkan hati mereka terguris kerana menganggap kita biadap disebabkan tidak menjawap panggilan mereka.

Rebutlah 5 masa sebelum tiba 5 masa:

Masa mudamu sebelum tua.

Masa sihatmu sebelum sakit.

Masa kayamu sebelum fakir.

Masa hidupmu sebelum mati. 

Maksud hadis- Riwayat Bukhari 

Ilmu vs Pendidikan?

Posted by wan wma on July 6th, 2008

Assalamualaikum…

Saya diminta oleh seorang pembaca blog supaya mengulas tajuk di atas. Pembaca bernama Dena, katanya sekarang ilmu senang nak dapat tetapi tidak ramai orang yang berpendidikan. Ehem…terima kasih Dena.

Saya rasa saya faham apa maksud yang ingin disampaikan. Sebelum saya huraikan lebih panjang, marilah kita amati maksud ilmu dan pendidikan dahulu.

Ilmu - ialah bentuk pengetahuan dari pelajaran dan pengalaman yang dilalui

Pendidikan - ialah suatu saluran untuk mendapatkan ilmu di mana didikan dan tunjuk ajar diberikan kepada setiap individu dalam melengkapkan diri untuk hidup.

Pada pandangan saya, tidak ada beza yang ketara antara dua perkara di atas. Pada zaman sekarang, orang berilmu dan berpendidikan memang ramai. Cuma yang tertinggal adalah amalan.

Ramai orang cerdik pandai dan berpendidikan yang mengetahui akan bahayanya mengisap rokok, namun masih ramai orang seperti ini yang mengisap rokok. Ramai orang tahu akan kelebihan solat berjemaah di masjid, tetapi masih ramai orang yang suka solat bersendirian, lebih parah lagi masih ramai orang yang tinggalkan solat. Ramai orang yang diberi didikan supaya mengikut ajaran agama Islam dalam menutup aurat, tetapi masih ramai orang yang tidak memakai tudung. Termasuklah para menteri dan orang ternama dalam negara kita. Adakah mereka terlalu jahil untuk memikirkan perkara seperti itu? Tak mungkin sama sekali. Namun, ilmu dan pendidikan yang dipelajari masih belum cukup membataskan amalan yang mereka lakukan.

Oleh itu marilah kita sama-sama memuhasabah diri. Carilah ilmu yang bermanfaat. Ilmu yang bermanfaat ialah:

-Mengetahui hak-hak waktu

-Menjernihkan hati

-Membenci keduniaan

-Mendekatkan kepada syurga

-Mengharapkan Allah

-Mengetahui akibat2 yang ditimbulkan oleh hawa nafsu

“Ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang di amalkan” 

-Iman Mahdawi 

 Cara manusia bertindak bergantung kepada sikapnya. Cara dia bersikap bergantung kepada kesimpulannya. Cara dia mengambil kesimpulan bergantung kepada cara dia berfikir. Dan cara dia berfikir bergantung kepada pengetahuan dan pengalamannya.

-Anonim 

Apabila Belajar Perkara Baru

Posted by wan wma on July 4th, 2008

Assalamualaikum..

Dalam mempelajari perkara baru, ada beberapa tip yang ingin saya kongsikan dengan anda semua. Seringkali saya dengar orang mengeluh kerana tidak tahu itu dan ini. Bila tanya kenapa tak bina blog untuk menjalankan perniagaan internet, kenapa tak berniaga kalau tak ada kerja, ramai orang menjawab tidak pandai, tidak tahu dan macam2 alasan lagi. Apa kata kita keluar dari kalangan orang seperti ini? Kita cuba jawab seperti ini, “Baik, saya boleh buat, cuma perlu belajar dulu perkara2 yang saya tidak tahu!”

Jika kita boleh berpegang kepada prinsip itu, kita sudah berada di landasan yang betul! Apa yang perlu kita buat lagi ialah:

Lahirkan minat dan perasaan ingin tahu yang mendalam

Minat adalah sesuatu perkara yang fleksible. Ia boleh dibina dan dibentuk dengan hanya memperbetulkan persepsi dan minda terhadap sesuatu perkara. Jika dari awal kita sudah berkata yang kita tidak minat akan sesuatu perkara, maka kita mamang tidak akan minat. Namun, kenapa kita harus terlalu gopoh dalam menentukan minat sedangkan kita tidak pernah tahu sesuatu perkara itu dengan mendalam? Jadi, sebelum menetapkan minda kita untuk minat atau tidak minat akan sesuatu perkara, kenali dan pelajarilah perkara itu terlebih dahulu. Lebih-lebih lagi ilmu yang bermanfaat.

Lahirkan rasa syukur dan bertuah

Ya, setiap kali dapat mempelajari perkara baru, bersyukurlah kerana kita adalah orang yang terpilih dan bertuah. Bukan semua orang belajar apa yang kita belajar, bukan semua orang tahu apa yang kita tahu. Kita sangat beruntung!

Bina Hubungkait

Setiap sesuatu perkara yang kita belajar meskipun dalam bidang yang berbeza, kita boleh menggunakan ilmu yang kita pelajari itu dalam bidang atau kemahiran kita selama ini. Kita perlulah kreatif dalam membina hubungkait. Sebagai contoh, apa kaitannya kertas kerja kontraktor binaan dengan lukisan orang2 seni? Susah jugak nak fikir…! Tapi ada kaitannya. Orang seni boleh menjadikan kerjaya dan kredebiliti mereka semakin menyerlah dengan menyusun atur kerja mereka menggunakan ilmu yang dipelajari dalam menyiapkan kertas kerja kontraktor binaan.

Lihat Masa Depan

Kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang dan kita juga tidak boleh mengatur masa depan. Apa yang boleh kita lakukan ialah menyiapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan pengalaman supaya kita boleh mengatasi dan mengambil peluang di masa akan datang dengan ilmu yang kita ada. Siapa sangka seorang penjual satay ikan yang hanya menaiki motor buruk 10 tahun yang lalu kini telah menjadi jutawan sebagai seorang pemaju hartanah? Dan abang ipar saya menjadi salah sorang pelanggannya? Tiada orang pun menyangkanya. Sebab itulah kita perlu kukuhkan pengetahuan kita dalam apa jua ilmu yang bermanfaat walaupun bukan dalam bidang kita.

Baik, sampai di sini saja perkongsian kita untuk kali ini. Mungkin ada lagi tip2 lain yang boleh kita kongsikan akan datang, anda tentu bosan membaca panjang lebar jika saya terus menulis..

Sekian..

Wassalam..


Copyright © 2007 WanWmaBlog. All rights reserved.